AL-FATIHAH

by - 20:58

Assalamualaikum

Masih lagi segar dalam ingatan aku. Aku terjaga jam 6:30 pagi bila tiba-tiba mama buka pintu bilik aku. Aku memang mudah terjaga orangnya. Aku pandang mama, mama pandang aku dan cakap,

"Sya, jom balik kemas barang. Kita balik kampung. Atuk sakit" 

sendu. Suara mama macam nak nangis. 

Aku dah sedia maklum minggu tu akan balik kampung untuk sambut kepulangan atuk aku daripada umrah. Plan asal hari jumaat baru kitaorang akan gerak. Tapi apabila mendengarkan khabar tentang atuk aku dimasukkan ke wad icu, kami sekeluarga ambil keputusan untuk balik pada hari itu juga (khamis).

Malam sebelum tu, aku baca whatsapp family besar aku. Katanya atuk demam malam tu. Entah kenapa entah waktu tu aku rasa atuk aku dah tak lama. Aku tepis je rasa tu sebab belum apa-apa lagi dah fikir bukan-bukan. Aku tidur je sampailah pagi tu yang mak aku kejut aku tu.

Sampai sahaja Johor, kitaorang terus pergi ke Hospital Sultanah Aminah. Jam 4:30 petang baru kitaorang dibenarkan melawat. Aku masuk dan menjenguk atuk. Atuk seorang je dalam wad icu tu yang dalam bilik. Atuk kena kuarantin sebab takut ada virus yang boleh berjangkit. Saudara-saudara aku kata, kalau doktor nak masuk pun dia akan pakai pakaian khas. Atuk kena masuk tiub pernafasan daripada mulut. Katanya kena jangkitan pada paru-paru tapi masih tidak dapat dipastikan samada virus atau bakteria.

Dalam perjalanan nak ke Johor tu jantung atuk berhenti sekali. Alhamdulillah, allah panjangkan umur atuk lagi. Aku sempat tatap atuk walaupun daripada tingkap kaca sahaja. Aku statik. Aku rasa aku nak tatap je atuk aku lama-lama. Walaupun aku tahu atuk aku akan kekal statik tak bergerak. Aku nak tengok atuk aku puas-puas. 

Keesokan paginya, hari jumaat 14 Disember 2018. Aku tengah melepak dekat ruang tamu. Tengok whatsapp big family aku nak tahu perkembangan atuk. Tiba-tiba nampak satu whatsapp daripada pakcik aku yang dekat hospital.

" jantung dah berhenti. Datanglah siapa free"

Aku terkaku. Macam tak percaya. Tapi masih ada harapan yang aku letakkan. Mama kat luar waktu tu. Aku tak dengar sangat apa yang mak aku cakap dengan papa. Mama masuk suruh aku siap-siap untuk ke hospital. Aku masuk bilik untuk cari baju yang nak dipakai. Tengah cari-cari tiba-tiba nenek aku masuk bilik tu sebab almari nenek aku memang kat situ.

"Ya allah, aku kuat ya allah. Aku kuat!" Nenek aku urut-urut dada dia. Aku pergi kat nenek aku dan usap belakang badan dia. Aku tak tahu nak buat apa.

Aku lari balik dekat ruang tamu aku, nak ambik fon. Nak tengok perkembangan atuk aku. 

"Doc nk Cuba lagi 5 mnt"
"Ya allah..."
"otw"
"Moga x ada apa yg buruk"

"Allah dh xde"

Kaku. Aku macam tak percaya. Betul ke? Tiba-tiba aku dengar suara nenek aku menangis dekat dapur. Aku berlari anak ke dapur. Aku nampak nenek aku dalam dakapan pakcik aku. Dua-dua menangis. Tanpa aku sedar, air mata aku pun tumpah juga. Mama keluar dari tandas dengan tangisan. Aku tekup mulut aku. Sebaknya hati ini allah je yang tahu. Adik aku datang dan berdiri sebelah aku. Tanya kenapa, aku diam. Tak mampu aku nak cakap apa-apa.


Urusan atuk semuanya dipermudahkan. Mandi dan kafan semuanya dibuat di hospital. Jenazah sampai di rumah untuk disolatkan. Selesai sahaja solat, anak-anak atuk diberi kesempatan untuk kucup arwah atuk buat kali yang terakhir. Aku takde rezeki nak cium atuk untuk kali terakhir sebab aku kat luar rumah. Lepas tu terus dikebumikan.

Pakcik aku kata arwah tersenyum. Mama kata atuk berbau harum dan tenang rasanya. Masa dikebumikan angin bertiup lembut je. Hujan mula turun renyai. Sebaik sahaja selesai dikebumikan dan hendak ditalkinkan, hujan mula turun.

Atuk pergi pada pagi jumaat 14 Disember 2018 pada jam 10:18 pagi. Pada penghulu segala hari. Atuk pergi selepas pulang daripada umrah. Sewaktu dirinya masih suci. Alhamdulillah. Aku tak perlukan tangisan untuk pemergian atuk yang indah ini. Semoga arwah atuk ditempatkan di kalangan para solihin.

Setiap yang hidup akan merasa mati. Kematian itu mengajar kita bahawa hidup ini tujuannya ialah untuk mencapai redha allah. Bukan mengumpul kekayaan dunia semata. Sesungguhnya penyakit yang paling berbahaya di dunia ini ialah penyakit 'nahwan'. Penyakit cintakan dunia.

Semoga kematian kita berada dalam husnul khatimah. Aamiin. 

You May Also Like

0 comments